Saturday, June 26, 2010

Syeikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir, Yaman


Peta Syahir, Yaman, Arab Saudi

Manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968


Manuskrip mukasurat pertama Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968

Syeikh Abdullah Al-Qumairi (Pengasas Silat kalimah)

Sumber: Oleh (Allahyarham) Wan Mohd. Shaghir Abdullah (Al-Fatihah)

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.
Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/1166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).
Ulama dan pencipta nama Kedah Darul Aman



Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yaman dan tiba di Kedah tahun 531 H/1136M.

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.
Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 halaman 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.

Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.

Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.
Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara Syeikh Abdullah al-Qumairi dengan Sultan Muzaffar Syah I tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.
Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.

Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.

Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.
WasiatSetelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.

Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi

* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.
* Berasal dari Yemen.
* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.
* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.
* Guru Sultan Muzaffar Syah I.
* Memberi nama Kedah Darul Aman.
* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.


Nota:

- Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.

- Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M.

- Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.

Sejarah Silat Kalimah

Silat Kalimah telah diilhamkan dan dikembangkan oleh seorang pendakwah atau saudagar arab yang di yakini berasal dari Syahir, Yaman. Nama pendakwah atau saudagar itu ialah Syeikh Abdullah Al-Qumairi atau Syeikh Abdullah Rafae'i Qibrari, atau lebih dikenali sebagai Syeikh Tajred. Beliau merupakan Khalifah ke 30 bagi Tariqat Rifa'iyah. Beliau telah berdagang hingga ke Ligor iaitu pusat perdagangan Islam yang pertama pada masa dahulu. Beliau telah singgah di sana dan menyebarkan agama Islam di Qalha (kini dikenali dengan nama Kedah Darul Aman) kira-kira 9OO tahun yang lampau. Pada ketika itu, Kedah berada di bawah pemerintahan Phra Ong Mahawangsa dan raja tersebut telah memeluk agama Islam dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.

Sultan Muzaffar Shah amat tertarik dengan cara penyampaian dakwah Islam yang dibawa Syeikh Tajred dan telah melantik Syeikh Tajred menjadi penasihat di Istana Kedah. Syeikh Tajred kemudiannya berkesempatan mengajar seni mempertahankan diri yang diilhamkan daripada kaedah perbuatan dalam solat, kepada Sultan Muzaffar Shah.

Syeikh Tajred menyatakan bahawa seni Silat Kalimah mempunyai nilai mempertahankan diri yang tinggi, berbeza daripada ilmu mempertahankan diri yang lain. Kerana itulah apabila Sultan Muzaffar Shah menerima ilmu Silat Kalimah ini; ia telah dirahsiakan dan hanya diajarkan kepada keturunan kesultanan Kedah sahaja. Warisan diraja ini berterusan sehinggalah tiba kepada pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, pada abad ke-19.

Setelah sekian lama Silat Kalimah ini dirahsiakan daripada orang kebanyakan. Dengan kehendak Allah, pada abad ke-19, semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, telah berlaku suatu penderhakaan di Sungai Tuntung, Krian. Ia dilakukan oleh seorang lelaki berketurunan Batak dari seberang, bernama Tuah (bukan Hang Tuah). Penderhakaan tersebut gagal dibanteras oleh para panglima Kedah sendiri. Sehinggalah Sultan Ahmad Tajuddin mengambil keputusan untuk menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ismail. Ini bertujuan untuk membanteras penderhakaan Tuah daripada berterusan dan Panglima Tok Ismail mengambil masa 44 hari sahaja untuk khatam dalam pembelajaran.

Setelah mempelajari ilmu Silat Kalimah yang diturunkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Tok Ismail telah berjaya menangkap Tuah penderhaka. Tuah kemudiannya dibawa ke Kuala Krian dekat Tanjung. Di tempat inilah Tuah dihukum bunuh dan akibat peristiwa ini, tempat itu digelarkan dengan nama Tanjung Tuah sehingga sekarang. Semasa Panglima Tok Ismail berumur 60 tahun, beliau telah menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.


Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.


Sekitar tahun 1854, berlaku satu peperangan di antara kerajaan Kedah dan kerajaan Siam. Panglima Tok Ali telah mengetuai bala tentera kerajaan Kedah diikuti oleh Panglima Tok Hadi dan Tengku Md Saad. Peperangan tersebut berakhir dengan kekalahan dialami oleh kerajaan Kedah. Akibat peristiwa ini Panglima Tok Ali telah berkecil hati dan bersumpah tidak akan memijak lagi bumi Kedah. Kekalahan Kedah tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian Tengku Md. Saad yang secara langsung membuatkan Panglima Tok Ali membawa diri ke Batu Bara.


Panglima Tok Rashid


Panglima Tok Rashid dilahirkan di Sedakah,Kedah pada tahun 1863. Beliau mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Panglima Tok Ismail sendiri. Semasa perkara ini berlaku, Panglima Tok Ismail pada ketika itu sudah pun lanjut umurnya, namun masih mampu untuk menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Rashid. Pada tahun 1890, telah berlaku satu wabak taun di Sungai Limau Yan, Dulang Besar dan Dulang Kecil. Pada tahun ini juga menyaksikan kehadiran penjajah Inggeris, maka Panglima Tok Rashid dan Panglima Tok Ismail membuat keputusan untuk berhijrah dari Mukim Dulang Yan ke Sungai Tuntung Krian. Akan tetapi sebelum sempat berpindah, Panglima Tok Ismail telah meninggal dunia terlebih dahulu dan jasad Panglima Tok Ismail itu telah disemadikan di sebuah pulau yang terletak di negeri Kedah.

Panglima Tok Rashid kemudiannya telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada anak angkatnya iaitu Tok Guru Yahya Said dan turut serta ialah anak lelaki Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Bukan itu sahaja, beliau juga telah mengajarkan kepada Tok Guru Yahya Said cara-cara membuat ubatan tradisional daripada akar kayu dan pokok-pokok herba di dalam hutan. Apabila Panglima Tok Rashid meninggal dunia, jasad beliau telah disemadikan bersebelahan kubur Panglima Tok Ismail. Pewaris terakhir bagi Panglima Tok Rashid adalah anak angkat beliau iaitu Tok Guru Yahya Said dan Tok Bidin.

Pak Guru Yahya Said

Beliau dilahirkan pada tahun 1903 di Kuala Kerian, Kedah. Tok Guru Yahya Said adalah anak angkat kepada Panglima Tok Rashid. Beliau bekerja dengan Panglima Tok Rashid sebagai seorang pembuat bendang, pembuat atap rumah dan pencari akar kayu untuk dijadikan adunan ubatan tradisional yang dihasilkan oleh Panglima Tok Rashid sendiri.

1923 - Tok Guru Yahya Said adalah orang awam kebanyakan pertama yang mempelajari Silat Kalimah daripada Panglima Tok Rashid. Rakan seperguruan Tok Guru Yahya Said adalah anak Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Apabila tamat perguruan, beliau bekerja sebagai seorang anggota polis dan tinggal di Batu Kurau, Perak.

1938 - Tok Guru Yahya Said mula mengajar Silat Kalimah ini kepada para pemuda di Daerah Batu Kurau. Diantaranya ialah Haji Awang Salleh, Harun Haji Hussein, Md. Daud Tok Sujak dan Haji Baharin Haji Ludin dan ramai lagi.

1942 - Yusof Misai dari Bagan Serai, Perak juga telah mempelajari seni Silat Kalimah ini.

1949 - Tok Guru Yahya Said telah menamatkan tugasnya sebagai anggota polis. Beliau mula aktif sebagai penjual ubatan tradisional dan menjualnya ke seluruh pelusuk Malaysia. Dalam pada itu, Tok Guru Yahya Said telah berkenalan dengan Yahya Abdullah@Yahya Masulin, Said Ali Abas, Pak Sawir Labeh, Haji Abu Malik dan Pak Mansor. Para penjual ubat ini turut mempelajari ilmu Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said sendiri, bermula dari tahun 1950.

1963 - Cikgu Mohd. Zohdi telah berhasrat untuk mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Tok Guru Yahya Said sendiri. Kini beliau adalah Pak Guru Utama Silat Kalimah Yahya Said dan masih mengajar dan aktif di dalam mengembangkan Silat Kalimah di sekitar negeri Perak.

1965 - Dua adik beradik iaitu Fadil dan Che Ngah telah mempelajari Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said.

1966 - Tok Guru Yahya Said mengembangkannya di Teluk Piai, Jalan Gunung Kriang kepada 20 orang pemuda, salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad yang merupakan pengasas dan Guru Utama Silat Cekak Malaysia.

1968 - Tok Guru Yahya Said telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada Pak Guru Azmi Long dan Cikgu Ridzuan Long

1972 - Pak Yahya Said mengajar anak angkatnya Pak Jauhari @ Pak Jo (Eusof bin Ali) di Batu Kurau Perak.

1979 - Pak Yahya Said telah menghembuskan nafas yang terakhir dan jenazah beliau dikuburkan di Batu Kurau, Perak.

Pewaris Seni Silat Kalimah