Sumber: Oleh (Allahyarham) Wan Mohd. Shaghir Abdullah (Al-Fatihah)
Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.
Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/1166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).
Ulama dan pencipta nama Kedah Darul Aman
Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yaman dan tiba di Kedah tahun 531 H/1136M.
Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.
Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 halaman 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.
Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.
Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.
Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara Syeikh Abdullah al-Qumairi dengan Sultan Muzaffar Syah I tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.
Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.
Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.
Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.
WasiatSetelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.
Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi
* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.
* Berasal dari Yemen.
* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.
* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.
* Guru Sultan Muzaffar Syah I.
* Memberi nama Kedah Darul Aman.
* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.
Nota:
- Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.
- Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M.
- Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.
No comments:
Post a Comment