Saturday, June 26, 2010

Sejarah Silat Kalimah

Silat Kalimah telah diilhamkan dan dikembangkan oleh seorang pendakwah atau saudagar arab yang di yakini berasal dari Syahir, Yaman. Nama pendakwah atau saudagar itu ialah Syeikh Abdullah Al-Qumairi atau Syeikh Abdullah Rafae'i Qibrari, atau lebih dikenali sebagai Syeikh Tajred. Beliau merupakan Khalifah ke 30 bagi Tariqat Rifa'iyah. Beliau telah berdagang hingga ke Ligor iaitu pusat perdagangan Islam yang pertama pada masa dahulu. Beliau telah singgah di sana dan menyebarkan agama Islam di Qalha (kini dikenali dengan nama Kedah Darul Aman) kira-kira 9OO tahun yang lampau. Pada ketika itu, Kedah berada di bawah pemerintahan Phra Ong Mahawangsa dan raja tersebut telah memeluk agama Islam dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.

Sultan Muzaffar Shah amat tertarik dengan cara penyampaian dakwah Islam yang dibawa Syeikh Tajred dan telah melantik Syeikh Tajred menjadi penasihat di Istana Kedah. Syeikh Tajred kemudiannya berkesempatan mengajar seni mempertahankan diri yang diilhamkan daripada kaedah perbuatan dalam solat, kepada Sultan Muzaffar Shah.

Syeikh Tajred menyatakan bahawa seni Silat Kalimah mempunyai nilai mempertahankan diri yang tinggi, berbeza daripada ilmu mempertahankan diri yang lain. Kerana itulah apabila Sultan Muzaffar Shah menerima ilmu Silat Kalimah ini; ia telah dirahsiakan dan hanya diajarkan kepada keturunan kesultanan Kedah sahaja. Warisan diraja ini berterusan sehinggalah tiba kepada pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, pada abad ke-19.

Setelah sekian lama Silat Kalimah ini dirahsiakan daripada orang kebanyakan. Dengan kehendak Allah, pada abad ke-19, semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, telah berlaku suatu penderhakaan di Sungai Tuntung, Krian. Ia dilakukan oleh seorang lelaki berketurunan Batak dari seberang, bernama Tuah (bukan Hang Tuah). Penderhakaan tersebut gagal dibanteras oleh para panglima Kedah sendiri. Sehinggalah Sultan Ahmad Tajuddin mengambil keputusan untuk menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ismail. Ini bertujuan untuk membanteras penderhakaan Tuah daripada berterusan dan Panglima Tok Ismail mengambil masa 44 hari sahaja untuk khatam dalam pembelajaran.

Setelah mempelajari ilmu Silat Kalimah yang diturunkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Tok Ismail telah berjaya menangkap Tuah penderhaka. Tuah kemudiannya dibawa ke Kuala Krian dekat Tanjung. Di tempat inilah Tuah dihukum bunuh dan akibat peristiwa ini, tempat itu digelarkan dengan nama Tanjung Tuah sehingga sekarang. Semasa Panglima Tok Ismail berumur 60 tahun, beliau telah menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.


Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.


Sekitar tahun 1854, berlaku satu peperangan di antara kerajaan Kedah dan kerajaan Siam. Panglima Tok Ali telah mengetuai bala tentera kerajaan Kedah diikuti oleh Panglima Tok Hadi dan Tengku Md Saad. Peperangan tersebut berakhir dengan kekalahan dialami oleh kerajaan Kedah. Akibat peristiwa ini Panglima Tok Ali telah berkecil hati dan bersumpah tidak akan memijak lagi bumi Kedah. Kekalahan Kedah tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian Tengku Md. Saad yang secara langsung membuatkan Panglima Tok Ali membawa diri ke Batu Bara.


Panglima Tok Rashid


Panglima Tok Rashid dilahirkan di Sedakah,Kedah pada tahun 1863. Beliau mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Panglima Tok Ismail sendiri. Semasa perkara ini berlaku, Panglima Tok Ismail pada ketika itu sudah pun lanjut umurnya, namun masih mampu untuk menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Rashid. Pada tahun 1890, telah berlaku satu wabak taun di Sungai Limau Yan, Dulang Besar dan Dulang Kecil. Pada tahun ini juga menyaksikan kehadiran penjajah Inggeris, maka Panglima Tok Rashid dan Panglima Tok Ismail membuat keputusan untuk berhijrah dari Mukim Dulang Yan ke Sungai Tuntung Krian. Akan tetapi sebelum sempat berpindah, Panglima Tok Ismail telah meninggal dunia terlebih dahulu dan jasad Panglima Tok Ismail itu telah disemadikan di sebuah pulau yang terletak di negeri Kedah.

Panglima Tok Rashid kemudiannya telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada anak angkatnya iaitu Tok Guru Yahya Said dan turut serta ialah anak lelaki Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Bukan itu sahaja, beliau juga telah mengajarkan kepada Tok Guru Yahya Said cara-cara membuat ubatan tradisional daripada akar kayu dan pokok-pokok herba di dalam hutan. Apabila Panglima Tok Rashid meninggal dunia, jasad beliau telah disemadikan bersebelahan kubur Panglima Tok Ismail. Pewaris terakhir bagi Panglima Tok Rashid adalah anak angkat beliau iaitu Tok Guru Yahya Said dan Tok Bidin.

No comments:

Post a Comment